Kini semakin ramai rakyat Malaysia mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Baru-baru ini seorang gadis berasal dari Kampung Tok Raja, Jertih, Terengganu, berjaya mendapat markah tertinggi dalam World Prize Winner bagi kertas Laporan Kewangan Korporat Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).

Anak ketiga daripada tujuh beradik, Wan Nur Mafudah Wan Yusof, 21 tahun, mendapat tempat teratas ACCA di peringkat dunia dengan markah sebanyak 95%.

bharian.com.my

Menurut Mafudah, kejayaannya itu membuktikan dia mampu menguasai bidang tersebut kerana sebelum ini keluarganya tidak begitu yakin dengan minat serta kemampuannya.

“Setelah tamat belajar peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dengan keputusan 8A1B di MRSM Besut , saya memasuki Kolej Poly-Tech Mara Kuala Lumpur bagi mengikuti asas bidang perakaunan selama setahun setengah,” jelasnya.

Malah, minatnya semakin bercambah apabila dia memasuki Kolej Poly-Tech Mara Kuala Lumpur hingga berjaya mendapat biasiswa Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk menyambung pengajian di Kolej Intec.

“Di sinilah saya banyak belajar tentang bidang perakaunan dengan sentiasa mengikuti perkembangan semasa dalam bidang tersebut dari semasa ke semasa sebelum terpilih untuk menyertai F7 Financial Reporting ACCA bagi graduan dari seluruh dunia,” tambahnya.

Tahniah diucapkan kepada Mafudah! Semoga akan ada lebih ramai lagi anak muda Melayu yang meminati bidang perakaunan hingga berjaya sepertinya.

Sumber: mStar