Negara Jepun dikenali sebagai negara yang bersih hinggakan ada ikan hidup di dalam longkang negara tersebut. Malah, rakyatnya juga begitu mengambil berat mengenai kitar semula dan cara melupuskan sampah dengan betul.

Menurut seorang pengguna Twitter, @RidzwanMahazan, memberitahu cara rakyat Jepun membuang sampah amat leceh kerana ia dibuat secara terperinci. Berikut merupakan cara-cara orang Jepun membuang sampah:

1. Asingkan sampah

Pertama, setiap jenis sampah haruslah diasingkan kepada lima jenis iaitu sampah boleh bakar, plastik, kertas & kain, botol & tin dan sampah tak boleh bakar.

2. Jadual hari buang sampah

Kemudian, hari untuk membuang sampah juga berbeza seperti berikut:

– Sampah boleh bakar – hari Isnin dan Khamis setiap minggu.

– Plastik – hari Jumaat setiap minggu.

– Kertas & Kain – hanya pada hari Selasa pertama dan ketiga setiap bulan.

– Botol & Tin – hanya pada hari Rabu pertama, ketiga dan kelima setiap bulan.

– Sampah tak boleh bakar – hanya pada hari Rabu kedua dan keempat setiap bulan.

3. Cara pelupusan sampah

Malah, cara-cara untuk melupuskan sampah juga berbeza mengikut jenis sampah di mana sampah boleh bakar, air atau cecair dari sampah dapur perlu dibuang terlebih dahulu, sampah seperti dahan pokok perlu dipotong 60cm dan diikat, kotoran pada pampers perlu dibasuh sebelum dibuang.

Anda boleh menggunakan plastik putih telus dan plastik shopping bag dari supermarket juga boleh digunakan asalkan isi di dalamnya masih boleh dilihat.

Selain itu, cara pelupusan sampah plastik pula, bateri dari mainan perlu diasingkan, plastik panjang perlu dipotong 50cm, sampah yg ada bahan selain plastik perlu diasingkan serta kotoran pada plastik perlu dibersihkan terlebih dahulu.

4. Cara pelupusan sampah kitar semula

Menurut Ridzwan, bagi sampah yang boleh dikitar semula, ia dibahagikan kepada dua jenis iaitu kertas & kain dan botol & tin.

Bahan-bahan seperti besi atau tapes pada kertas atau kadbod perlu diasingkan kpd sampah boleh bakar. Kotak minuman pula perlu dibasuh, dikeringkan, digunting dan dihamparkan serta diikat sebelum dibuang malah kadbod juga perlu diikat sebelum dibuang.

Bagi botol & tin, ia perlu dibasuh dan dikeringkan terlebih dahulu. Isi bekas kosmetik perlu dibuang terlebih dahulu. Botol dan Tin akan dikutip trak sampah berbeza dari botol PET. Label dan penutup perlu diasingkan dan dibuang sebagai sampah plastik.

Banyak lagi tips yang dikongsikan oleh Ridzwan di akaun laman Twitter miliknya mengenai topik ini jika anda berminat atau bakal menetap di Jepun tak lama lagi. Mungkin rakyat Malaysia boleh mengambil contoh Jepun dari segi pembuangan sampah yang lebih bersih dan tidak berbau busuk.

Sumber: Twitter @RidzwanMahazan