Pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad, 93 tahun, menjadi Perdana Menteri Malaysia ketujuh diterima baik oleh rakyat negara ini dan beberapa pemimpin di luar negara.

Malah, pelantikan itu juga mengimbau memori seorang bekas pengawal peribadi Mahathir, Saad Hashim, 77 tahun, yang pernah berkhidmat selama 30 tahun semasa Mahathir menjadi Ahli Parlimen Kubang Pasu.

“Tun seorang yang tegas dan berani. Jika beliau hendak sesuatu pasti akan pergi tidak kira sama ada bahaya atau tidak. Contohnya semasa pembinaan Universiti Utara Malaysia (UUM) dia mengajak saya bersamanya walaupun kawasan itu bahaya sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, salah satu tabiat Mahathir yang diingatinya sehingga kini ialah Mahathir gemar membawa buku catatan dan sebatang pen ke mana-mana saja dia pergi.

“Tidak hairanlah jika Tun keluar negara pun dia akan mencatat segala apa yang dia lihat dan dengar supaya dapat memberi panduan kepadanya. Sebab itu banyak pembaharuan dibawa masuk semasa di bawah kepimpinannya dengan pelbagai dasar supaya memajukan negara kita ini,” jelasnya.

Sumber: Sinar Harian